Ahad, 8 September 2013

JENAYAH SIBER

Jenayah siber merupakan jenayah komputer yang baharu pada abad ini. Kemunculan Internet sebagai alat komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan ilmu dan maklumat. Oleh sebab tiada siapa yang dapat mengawal perjalanan maklumat di dunia siber, berjuta-juta laman web telah dihidupkan. Bermacam-macam maklumat sama ada benar atau salah, idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang juga pornografi disebarkan melalui Internet.
Pada masa yang sama, kebebasan maklumat yang dijanjikan oleh dunia siber ini menimbulkan rasa gerun bagi pihak pentadbir sesetengah negara yang selama ini mahu mengongkong kebebasan bersuara, berfikir dan berpendapat penduduk mereka.

Kecanggihan Internet - kemampuannya mengatasi sempadan geografi

Keupayaan Internet sebagai alat komunikasi jauh mengatasi alat-alat komunikasi yang ada sekarang. Percetakan, telefon dan televisyen telah berzaman memainkan alat yang penting dalammedia untuk menyampaikan ilmu dan maklumat kepada orang ramai. Namun, bahan-bahan media ini penyebaran maklumatnya adalah satu hala dan tidak interaktif seperti Internet. Ini membolehkan pengawalan maklumat dilakukan secara berkesan. Malah kebanyakan negara mempunyai peruntukan undang-undang yang mengawal percetakan dan kandungan televisyen. Di Malaysia contohnya, sebarang percetakan yang disebarkan kepada orang awam memerlukan permit yang sah. Peruntukan undang-undang yang sedia ada seperti Akta Percetakan, Akhbar dan Penerbitan 1984, Akta Penyiaran 1988, Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 membataskan maklumat-maklumat yang boleh dicetak dan diedarkan kepada orang ramai
Bahan media yang tradisional juga dibatasi oleh had geografi. Penyebaran buku, majalah dan surat khabar memerlukan kos, tenaga manusia, infrastruktur jalan dan kemudahan kenderaan. Kesemua faktor ini membataskan penyebaran maklumat dan pada masa yang sama memudahkan pengawalan maklumat.
Perbezaan antara Internet dan bahan media yang sedia ada amatlah nyata kerana Internet adalah satu platform yang menyediakan maklumat daripada berjuta-juta pengguna dan pengkaji selidik dari seluruh dunia. Internet memungkinkan seseorang menyebarkan maklumat dan berinteraksi dengan orang lain yang mungkin beribu-beribu batu jauhnya.

 

Perlukah internet dikawal selia

Pengawal seliaan bahan-bahan media dan cetak adalah satu praktis yang sudah lumrah di negara membangun dan juga di kebanyakan negara maju. Dengan perkembangan Internet, timbullah tanda tanya sama ada Internet harus dikawal selia atau tidak.
Namun pihak kerajaan Malaysia mengambil langkah yang positif untuk tidak menapis dunia siber. Ini termaktub dalam rang undang-undang jaminan yang dijanjikan oleh kerajaan Malaysia dengan syarikat-syarikat Koridor Raya Multimedia. Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga mengisytiharkan bahawa tiada suatu pun peruntukan di bawah akta tersebut yang membenarkan sebarang penapisan maklumat berlaku.
Prinsip ini adalah berdasarkan pendapat bahawa pengawalan maklumat hanya akan memberikan kesan yang negatif kepada perkembangan teknologi komunikasi yang canggih ini.
Ini berbeza sekali dengan sesetengah negara yang mengambil pendirian yang jauh lebih agresif. Negara-negara seperti Cuba dan China, mengamalkan penapisan maklumat secara total atau separa. Mereka menganggap kandungan yang dibawa di dalam Internet sebagai ancaman ideologi kepada penduduk mereka. Mereka lebih suka penduduk mereka pasif, buta dan tidak celik kepada maklumat dan perkembangan dunia terkini.
Banyak juga negara yang bersikap sederhana dan menapis hanya maklumat yang mungkin merosakkan fikiran orang awam.
Kebebasan bersuara yang sedia ada seharusnya tidak disalahgunakan. Namun demikian jika adapun penyebar maklumat palsu ataupun pihak pembangkang sesuatu kerajaan menggunakan Internet untuk menyebarkan ideologinya, ia bukannya satu ancaman serius. Pihak kerajaan masih ada cara lain untuk mengatasinya contohnya adalah dengan cara meningkatkan ilmu pengetahuan rakyat dan menyebarkan berita yang benar di media cetak atau TV. Dengan cara ini orang ramai akan dapat mempertimbangkan kebenaran. Tapi bagaimana dengan jenayah siber yang lain. Bolehkah kita bertolak ansur dengan jenayah siber yang boleh membawa ancaman kepada masyarakat dan tamadun ?

 

Klasifikasi Jenayah siber

Kesemua peringkat penggunaan komputer adalah sentiasa berhadapan dengan aktiviti jenayah. Sama ada sebagai mangsa kepada jenayah atau peralatan bagi jenayah atau kedua-duanya.Operasi input, pemprosesan data, operasi output dan komunikasi data telah digunakan dengan teliti untuk tujuan yang tidak sihat. Jenis jenayah siber yang biasa kita dengar
1.  Penipuan
2. Kerosakan atau pengubahsuaian keatas program atau data komputer.
3. Kecurian maklumat.
4. Capaian secara tidak sah keatas sistem
5. Menyalin perisian secara tidah sah.
6. Pengintipan
7.  Judi siber
10.Penggodam atau "Hacker"
dan banyak lagi dan mungkin juga kita akan berhadapan dengan bentuk jenayah baru selaras dengan kepesatan pembangunan komputer .Isu yang ingin di bincangkan di sini bukanlah berkenaan bagaimana jenayah dilakukan tetapi mengapakah jenayah ini sukar dibendung. Antara beberapa faktor yang dikenal pasti ialah
1.  Sukar dikenalpasti siapakah penjenayahnya
2. Kepentingan ekonomi
3. Berbeza takrifan jenayah
4. Kepentingan ketenteraan
5. Sikap manusia "Human attitude"

 

Sukar dikenalpasti siapakah penjenayahnya

Siapakah penjenayah siber? Apakah jenayah yang dilakukan? Di mana jenayah dilakukan? Soalan-soalan yang sukar di jawab. Kalau jenayah lain senang dikenali contohnya perompak tentu sekali memegang senjata , penculik tentu sekali meminta wang tebusan tetapi bagaimana mengenali penjenayah siber. "Satu masalah utama untuk membezakan ancaman siber dengan ancaman fizikal adalah untuk menentukan siapa yang menyerang sistem kita, mengapa, bagaimana, dan dari mana," Michael A. Vatis dari FBI. Umumnya penjenayah siber adalah golongan berpengetahuan ataupun profesional. Munkin kawan kita , mungkin pelajar, mungkin profesor atau siapa sahaja. Mereka akan melakukan jenayah terhadap intitusi mereka sendiri atau intitusi pesaing atau mereka diupah oleh pihak tertentu contohnya.
Organisasi perniagaan mungkin menjadi sasaran pesaingnya, pekerja atau bekas pekerja. Bank serta institusi kewangan oleh perompak dan penjenayah profesional. Manakala, pihak universitimenjadi sasaran pelajar atau bekas pelajar. Agensi kerajaan pula mungkin menjadi mangsa pengganas dan komputer militari mungkin disabotaj.
Kalaulah orang yang melakukan jenayah tidak di kenali undang-undang yang di rangka untuk membendungnya tidak akan bermakna. Di Amerika yang canggih teknologinyapun gagal mengesan perancang trajedi 11 September. Semasa Peristiwa 11 September 2001, 19 orang perampas kapal terbang memasuki Amerika Syarikat dengan menggunakan visa yang sah. Selain secara peribadi, mereka berhubung melalui Internet atau membuat panggilan telefon dengan menggunakan kad prabayar untuk merancang serangan terhadap New York dan Washington.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan